Aliran Kasih Di Kionsom Baptist Retreat Centre !

Aliran Kasih Di Kionsom Baptist Retreat Centre

Melihat tulisan saya sepanjang bulan September 2016, ternyata tulisan saya terlalu sedikit. Justeru, sebelum bulan September berakhir saya menetapkan untuk menulis satu artikel tentang gambar yang saya post di Facebook beberapa bulan lalu. Orang sibuk bertanya tidak sekadar melalui komen tetapi juga, siap mesej ^^

'Kau dimana sekarang?' 

'Ko ni jalan-jalan saja'

Ding-dong-bell ! lepas tu ada beberapa orang mesej saya ...

'ko kerja mana?'

'Ko kerja pelancongankah'?

Sebenarnya saya bukan kerja pelancongan, tidak juga asyik berjalan kesana-sini. Saya selalu dikampung, menghirup udara segar yang terkadang udaranya diselitkan dengan aroma kambing-kambing. Bezanya cuma, kampung saya dekat dengan kawasan pelancongan !

Ada air terjun Kionsom.

Ada Mari-Mari Cultural Village.

Ada Kionsom Baptist Retreat Centre.

Ada Shalom Valley Park.

Dekat dengan Kasih Sayang Resort

.........dan banyak lagi !

Kali ini saya mahu memperkenalkan Kionsom Baptist Retreat Centre. Ia terletak lebih kurang 7KM dari Inanam. Tempat ini wujud sebelum saya diproses menjadi manusia, jauh dari bingit kota, dekat dengan alam hijau nan permai. Dahulu, sebelum bertukar wajah ke modenisasi , sebelum menerima pembangunan sepenuhnya ia hanyalah dilihat sebagai sebuah tapak usang yang kurang mendapat tarikan. Meski pun begitu, tidak bermakna ia tidak mendapat lawatan. Ia sentiasa dikunjungi para tetamu untuk mengadakan retreat atau kem.
Kionsom Baptist Retreat Centre
Lihat ! bangunan baru itu sangat baru (hehe)
Oh, izinkan saya mencetuskan tawa sebentar :

Disuatu hari, ketika kem berlangsung semasa makan tengahari bersama sekumpulan remaja Amerika. Saya tidak semeja mereka. Hanya bersebelahan meja. Budak-budak kampung seusia bawah 12 tahun disoal ketika sedang asyik memakan sayur kampung.

' do you like eating grass?'

...dan jawapan mereka...

'Yes !
menjawab serentak pula ...aduh kita bukan kambing suka makan rumputlah ! haha

Banyak kisah bahagia disini, bermain duck-duck-goose bersama orang puteh juga pernah, medapat hadiah tiap kali natal juga disini dan...dan...dan banyak lagi !
Kionsom Baptist Retreat Centre
Wajah lama sebelum bertukar konkrit mewah
Bermula tahun lalu, bangunan baru telah didirikan menggantikan bangunan kayu yang pada 20 tahun lalu merupakan gereja tempat saya beribadah. Ketika kami meninggalkan tempat itu kerana kami memiliki gereja baru berhampiran dengannya, maka bangunan itu sepenuhnya dijadikan sebagai tempat retreat atau aktiviti kem berlangsung sebelum beberapa tahun kemudiannya ia menjadi usang dan tidak boleh digunakan lagi. Saya mempunyai banyak kenangan dibangunan usang itu. Banyak natal yang saya rayakan berlaku di tempat itu. 

Kionsom Baptist Retreat Centre terwujud dan dibangunkan oleh Misionari dari USA pada awal usia sebelum akhirnya ia diurus oleh orang tempatan. Saya tidak membaca sejarahnya, saya hanya diceritakan. Saya lebih suka membayangkan pemandangan dahulu tetapi, saya juga ternyatanya mahu lebih bersyukur dengan kemajuan yang ada hari ini . Kionsom Retreat Centre, dahulunya dan saya yakin sekarang juga disesetengah orang ia masih dikenali sebagi 'long house'. Ia kerana disini terdapatnya sebuah rumah panjang (mahu tahu bagaimana rupanya? yuk, kesini....atau pun mungkin anda mahu ikut serta kem Wiranita bulan sembilan ni...dipersilakan *non-Muslim only* ya).

Berhampiran dengan Retreat ini juga terdapatnya sungai yang alirannya dari Air terjun Kionsom dan disebelah kawasan ini adalah Shalom Valley Park. Bagi penggemar ketenangan dan pembenci huru-hara, tempat ini sangat sesuai untuk anda. Walau bagaimanapun, tempat ini hanya terbuka kepada awam dan Kristian.
Kionsom Baptist Retreat Centre
Kombinasi rumah lama yang masih ada + bangunan baru
Ini merupakan bangunan terbaru dikawasan Kionsom Baptist Retreat Centre dan telah rasminya dibuka kepada penginap pada bulan July. Saya bersama 6 orang lainnya merupakan penginap pertama dibangunan tersebut. Ala-ala rasmi tidur dibilik yang baru-lah ! ! hehe.. Sebagai memori dimasa hadapan bilik tempat saya menginap itu adalah ditingkat tiga, bilik 3-1. Fasiliti adalah terbaik, lengkap dengan tandas dan kamar mandi, penghawa dingin juga, kipas. Pemandangan dari tingkat atas adalah 'wow' ! ...dahulunya, saya tidak pernah terfikir jika bangunan seperti ini akan dibina menggantikan bangunan lama tak berdinding itu. Perjalanan sehingga ketahap ini tidaklah mudah namun, berkat dari Tuhan menjadikan ia ada tepat pada waktunya melalui orang-orang yang terpilih untuk melaksanakannya.
Kionsom Baptist Retreat Centre
dari bangunan kayu berdinding separa kepada bangunan konkrit mewah
Dahulu kawasan ini sangat tropika dan dikawasan ini zaman kanak-kanakku terisi dengan riang-ria, tawa senda dengan teman-teman. Bermain 'swing' serta berguling dipadang rumput yang hijau. Kawasan padang yang agak condong atau mungkin ia ditafsirkan sebagai anak bukit adalah luas dan hijau. Ditengah padang tersebut ada sepohon pokok rambutan dan dipokok tersebut terdapat ayunan. Dihujung bukit pula pula ada lagi sepohon rambutan dan dipokok rambutan itu adanya rumah-rumah kayu yang dibina oleh anak-anak mat saleh sebagai tempat mereka bermain. Saya suka membayangkan kisah lalu tersebut. Dimana lagi boleh kutemukan pemandangan seumpama itu ? Indahnya luarbiasa, damainya mempesona kalbu.
Kionsom Baptist Retreat Centre
Kami bahagia meski bangunan hanya berdinding separa
Sayangnya, banyak gambar dimasa lalu ketika saya masih terlalu jarang ke bandar telah rosak terkena air. Jika tidak kamu juga pasti paling tidak sedikit menyelinap masuk melalui imaginasi melihat bagaimana rupa Kionsom Baptis Retreat Centre dahulu.  Tempat saya bersekolah minggu ada ditingkat satu sebuah bangunan tinggi yang hanya berdinding separa dan jarang. Duduk menggunakan kerusi lipat dengan meja kayu bulat. Sejauh ingatan saya, dihujung bangunan tersebut ada sebuah bilik yang ala-ala sebuah makmal (saya kurang ingat itu bilik apa). Ditingkat bawah, ada rumah tetapi, rumah itu juga mempunya kolong yang rendah. Sehingga hari ini, saya berasa bahawa bangunan itu masih sangat cantik pada memori mata saya. Mungkinnya, ia terbina mengikut citarasa 'orang puteh' dan rekabentuk bangunan itu masih hangat dalam memori fikir. Hari ini, tempat dimana berdirinya bangunan memori itu sudah digantikan dengan bangunan konkrit mewah.

Lagi, ditepian padang rumput condong itu terdapat tandas lelaki dan perempuan juga, kamar mandi berwarna putih. Saya tidak tahu bagaimana menceritakan tetapi, saya tahu persis apa pemandangan kawasan itu keseluruhannya - indah dan layak digelar sebagai tempat mencari ilham yang damai, hijau dan segar ! Hari ini, tempat itu telah bertukar wajah namun, indahnya masih ada cuma cara lukisnya berbeza sama seperti, manusia turut mengalami perubahan dari tradisional kepada modenisasi.

Kionsom Baptist Retreat Centre, terwujud hanya kerana sebuah kasih dan anugerah Tuhan. Setelah sekian lama ingin menulis tentangnya, baru hari ini ia terwujud. Selamat membaca dan selamat bertemu di Kionsom Baptist Retreat Centre.

Post a Comment

0 Comments