15 January 2015

Di Hujung Mata Aku Membenci

Perlu diingatkan bahawa ketika saya menulis tulisan ini, saya masih seorang manusia yang punya deria lengkap dan sempurna. Ada waktu perasaan benci itu menyapa suasana hari-hariku. Meski ia muncul sekejap ia tetap mencengkam sanubariku sehingga otakku berlari laju memberitahu hati bahawa saya tidak harus membenci.

Melayan perasaan benci pada sesuatu atau pada seseorang itu seakan suatu gangguan yang tidak menyenangkan. Hati harus selalu dijaga dengan rapi dan jangan pernah membenarkan mulut mengeluarkan apa pun kalimat ketika hati sedang dilanda benci. 

Pandangi langit dari hujung mata, tarik nafas panjang-panjang, rentangkan ke dua tangan dan nikmati suasana damai yang percuma diberikan sang Pencipta buat kita. Namun, seringkali kesabaran tergugat oleh hal-hal duniawi yang seakan menghambat dan memukul perasaan dengan kuat. Ada kalanya kurelakan kebencian itu berkuasa meraja difikiran, dari hujung mataku kubenarkan benci itu bertindak.
Jangan benci
Saya hanya manusia kerdil yang kesabarannya sangat terbatas. Saya tidak mampu melakukan banyak hal sendirian juga tak mampu menerima banyak paksaan sekali masa. Saya memerlukan ruang waktu untuk setiap perkara dan memerlukan bantuan tenaga dari orang lain untuk hal-hal tertentu. Hal yang tidak saya suka sejak dahulu dan ternyata sehingga kini ia masih tidak pernah saya senangi. Saya benci menerima paksaan dan akan selalu tidak suka menerima paksaan. 

Saya tidak akan menyatakan secara lisan kerana itu bukan kekuatanku. Saya selalu jujur kala berbicara melalui tulisan namun, tak bermakna saya menipu kala bersuara melalui mulut. Cuma, saya lebih mudah berkomunikasi melalui tulisan berbanding melalui bicara mulut. 

Dari hujung mata saya membenci bukan bermakna saya seorang yang kurang ajar tak berdisiplin dalam membangun hidup, itu hanya kerana saya seorang manusia yang masih berusaha sebaik mungkin untuk menjadi manusia baik dan menciptakan persekitaran ini semakin baik hari selang hari.

Saya tidak jahat, cuma perasaaku seringkali menjadi nakal dengan perasaan benci. Namun, benciku bukanlah benci berdendam apatah lagi benci berdarah.

Saya masih baik. Sama seperti dirimu, baik. Malah, mungkin saya jauh lebih baik dari dirimu.
Share:

0 comments: