1. Into The Wild (2007)
Filem ini diadaptasi
daripada kisah benar seorang pemuda bernama Christopher McCandless yang
ditemui mati di dalam sebuah bas lama (magic bus) di sebuah kawasan
belantara di Alaska pada September 1992. Kisahnya bermula apabila dia mengambil
keputusan untuk mengembara dan meninggalkan segala kesenangan hidup serta
keluarganya. Dia keluar tanpa wang ringgit. Wang simpanannya $25,000
didermakan kepada sebuah badan kebajikan, baki wang tunai yang masih
ada dibakar dan kad kreditnya dipotong dengan gunting. Dengan hanya
membawa kelengkapan diri yang dimuatkan di dalam 'backpack', dia pun memulakan
langkah dari Virginia, Washington D. C. ke Alaska dengan menggunakan nama baru,
Alexander Supertramp. Antara plot menarik di dalam filem ini adalah semasa dia
menghabiskan sisa-sisa hidupnya (dia ketika itu nazak kerana termakan tumbuhan
beracun) di dalam sebuah bas lama yang dijadikan tempat tinggalnya sehinggakan
bas itu digelar 'magic bus' sehingga kini.
2. The Art Of Travel (2008)
Conner Layne memulakan
pengembaraannya dengan berbulan madu secara solo selepas dia meninggalkan
majlis perkahwinannya kerana mendapati tunangnya berselingkuh dengan sahabatnya
sendiri. Dia yang ketika itu masih naif tentang dunia pengembaraan, membawa diri
ke Nicaragua, sebuah negara di Amerika Tengah yang merupakan bekas jajahan
Sepanyol. Pertama kali tiba di negara asing,
banyak masalah yang timbul. Di situ dia mengalami pelbagai pengalaman perit
sebagai orang baru dalam dunia pengembaraan seperti ditipu, dirompak,
berhadapan budaya jenayah kecil dan kemudahan-kemudahan yang tidak
memberikannya keamanan. Lama-kelamaan dia mula dapat menyesuaikan diri,
pengalaman memberinya ilmu yang berharga. Antara petikan menarik dalam filem ini
adalah, "... I have so much left to do for myself. And if i don't
go and seek that out, maybe i'd end up regretting it for the rest of my
life".
3. The Way (2010)
Kisah seorang bapa,
Thomas Avery yang menjejak semula perjalanan anaknya yang mati terbunuh
dalam tragedi ribut di banjaran Pyrenees semasa membuat ekspedisi Camino de
Santiago (The Way of St. James). Thomas pada mulanya hanya berhasrat untuk
ke Sepanyol bagi menuntut mayat anaknya, namun dia kemudiannya terfikir
untuk mengikuti semula jejak yang dilalui anaknya untuk merasai sendiri
pengalaman dan apa yang difikirkan anaknya itu. Dalam perjalanan klasik Camino
itu, Thomas berjumpa dengan beberapa individu yang sama-sama mencari erti
kehidupan dengan pengembaraan yang akhirnya menjadi rakan kembara (travel mate)
kepada pakar mata itu.
4. Last Stop For Paul (2008)

Charlie begitu sukakan
pengembaraan dan sentiasa mencari jalan termurah (bajet) untuk pusing satu
dunia. Manakala sahabatnya, Cliff sentiasa mencari alasan untuk tidak berjauhan
dengan rumahnya dan apabila dia berjanji untuk mengikuti Charlie keluar
mengembara, dia tidak pernah menepatinya. Bagaimanapun, satu hari Charlie
mengajak Cliff untuk ke parti bulan penuh yang diadakan setiap
bulan di Ko Pha Ngan, Thailand. Kali ini Cliff tidak dapat menolak.
Dia mahu memenuhi hasrat seorang rakan lamanya yang baru meninggal dunia,
Paul untuk menjelajah dunia. Cliff mahu memberi penghormatan kepada rakannya
itu dengan menabur abu mayatnya di empat sudut dunia (the four corners of the
earth) iaitu Amerika (barat), Eropah (utara), Asia (timur) dan Afrika
(selatan). Dalam msa dua minggu sebelum parti itu bermula, Charlie dan Cliff
menjelajah ke beberapa negara dan menimba pengalaman yang berharga selain tidak
lupa menaburkan sedikit abu mayat Paul di setiap hentian mereka.
5. A Map For Saturday (2007)
Filem dokumentari arahan
sendiri oleh Brook Silva-Bragga ini memaparkan kisah menarik tentang dirinya
ketika mengembara ke Australia, Asia Tenggara, India, Nepal, Eropah dan Amerika
Selatan selama setahun. Produser di rangkaian televisyen HBO itu sanggup
meninggalkan kerjayanya demi menimba ilmu di dunia yang lebih luas di luar
sana. Filem itu memaparkan tentang para backpacker yang perihatin dalam
membantu mangsa tsunami di Thailand, menerangkan kenapa rumah tumpangan di
Nepal tiada pelanggan dan kenapa lampu berhenti di Brazil tidak dihiraukan.
Dalam perjalanan, dia bertemu dengan ramai backpacker yang rata-ratanya turut
meninggalkan karier mereka untuk mengembara. Satu perkara yang dia temui semasa
pengembaraan adalah, "As we delve more into the idea of buying
the Round The World or RTW ticket, it becomes clear that it’s not about
being lucky; it’s about the attitude to actually do it...".