Cacing Siap Berpesta, Jangan Sombong !



Bangun pagi dan disapa sang suria adalah suatu keajaiban hidup setiap hari dan perlu disyukuri selagi nafas beroperasi dalam hidup ini. Jadual hidup yang telah diatur untuk kita tidak memungkinkan kita hidup selamanya didunia ini. Satu detik yang terancang oleh Tuhan, akan membawa kita pergi jauh-jauh dari dunia ini. Ketempat yang jauh lebih indah dan manis tanpa persengketaan sesama manusia, tanpa perlu melihat rusuhan kata dari ''si mereka'' yang berlagak alim dan perasan menjadi kesayangan Tuhan melebihi sayangnya Dia pada orang lain, membangkit-bangkitkan isu siapa lebih benar dan sebagainya.

Selidiki hati dan kehidupanmu, wahai penduduk Malaysia yang saya hormati dan sayangi. Jangan menjadi pak Pandir yang angan-angannya melebihi bintang kejora diawan tujuh tetapi, pada hakikatnya ia tidak mendapat apa-apa dalam dunia  realiti. Hidup harus berpaksi pada kenyataan dan kebenaran, bukan pada kata hati dan akal yang sempit sesempit longkang dipekan-pekan Malaysia, bila hujan lebat turun, maka naiklah air dan terjadilah banjir dan seluruh penduduknya terhimpit oleh kesusahan dek banjir yang melanda akibat longkang yang sempit. Buka mata, tebarkan pandangan, luaskan minda, kautlah ilmu sedalam lautan kerana dikedalaman lautan itulah terkumpulnya mutiara-mutiara indah kebanggaan si pemakainya.

Saya terpanggil untuk menulis isu sensasi negara hari ini. Bukan tentang subsidi minyak turun dan nilai duit dikeluarkan untuk membeli minyak naik tetapi, justeru oleh sikap sesetengah penghuni negara Malaysia yang bersikap lantang mendabik dada sambil mendongak kelangit mengangkat sepanduk mengatakan bahawa bumi Malaysia ini adalah milik mereka sahaja. Saya tidak akan menggunakan perkataan tak berakal dalam tulisan ini, juga tak akan menggunakan madu untuk menjadikan tulisan indah manis pada mata pembaca. Cukup dengan perkataan jelas dan difahami saja agar ia mudah dihadam oleh usus logika dan dicerna oleh budi pekertimu, jika benar kau adalah manusia sejati yang tidak bongkak sombong .

Hai manusia Malaysia, jangan menganggap diri terlalu benar sehingga menjatuhkan orang lain. Tiada yang tercipta sebagai sampah melainkan diri sendiri membina diri dan menjemput orang lain menyampah dengan kita. Malaysia harus terwujud sebagai sebuah rumah besar yang penuh dengan kebahagiaan dan bukan penindasan sesama insani. Meremehkan orang lain.  Itu biadap namanya !

Cacing
Dewasa ini, banyak sekali keadaan menyakitkan mata malah, membunuh hati lantaran tersakiti begitu teruk oleh segelintir rakyat Malaysia yang haloba dengan kekayaan dunia semata sehingga menghapuskan nilai manusia sejagat. Setiap dari kita terlahir dengan DNA yang berbeza dan tidak hairan pula jika pendapat kita akan sesuatu itu tidak sama dan jauh dari matlamat akal dan kepala setiap individu. Kita tidak dipaksa untuk mempercayai anutan kepala orang lain. Kita adalah kita dan kita mempunyai aliran idea kita sendiri. Amalan tersendiri namun, jauh dari mempersilakan kita diperhambakan oleh kebodohan sendiri untuk memperlekehkan sesama manusia.

Kurang ajar namanya, jika anda mengambil hak yang bukan hak anda dan berkata bahawa itu adalah hak anda. Malaysia adalah milik bersama dan terlalu kuno sekali fikiran bagi mereka yang mendebatkan nilai kepercayaan orang lain dengan menganggap perbezaan agama dan ras kulit itu sebagai suatu sempadan untuk hidup rukun bersatu mewujudkan keamanan negara.

Saya tidak menuding jari pada sesiapa. Cukup merenung diri sendiri, sejauh mana kebaikan yang telah anda tabur pada negara ini sehingga anda berasa anda cukup berhak berdiri megah menjunjung perkataan bodoh anda untuk memiliki negara dan segala hasil bumi Malaysia sendirian ?

Saya hanya satu jiwa dari jutaan jiwa Malaysia, sedikit kata dari saya pun mungkin tidak akan mengubah apa-apa persepsi anda terhadap cara hidup agar tidak saling menyakiti sesama. Saling membenci,  saling menjatuhkan bahkan, dengan rela membiarkan diri dikuasai hasad dengki sehingga sanggup menumpahkan darah. Sungguh seperti apakah hidup manusia dizaman ini ? seteruk binatangkah atau lebih dari itu kerana pada hakikatnya, binatang lebih tahu erti dan nilai sebuah cinta dan kasih sayang jika tidak pada manusia, sekurang-kurangnya pada anak dan keluarganya.

Wahai anak pertiwi Malaysia, tidak perlu meletakkan akal dilutut kerana pada dasar realitinya kita tercipta dengan kesempurnaan akal didalam kepala kita. Tangan yang lengkap bukan tercipta untuk melaksanakan keinginan hati semata, kaki tercipta juga ada tujuannya. Sebagai manusia yang sihat rohaninya, selayak dan sebaiknya kita hidup bermuafakat. Hormati kepercayaan orang lain. Nikmati senyuman dan hargai kehadiran orang lain sebagai jiran tetangga atau masyarakat majmuk di negara ini.

Jangan pernah berasa anda adalah Tuhan yang layak melaksanakan apa saja dibumi ini. Bumi ini bukan milikmu, bukan milikku. Kita hanya sementara dibumi ini. Kau hadir kebumi tanpa membawa apa-apa, apa layak sekarang kau mengatakan ini bumimu ? TIDAK ! kau bukan siapa-siapa. Kau dan kita hanya penghuni sementara. Nafas ada bersama kita setiap detik kehidupan kita, itu pun bukan milik kita. Sekarang berani-beraninya kau mengatakan bumi ini milikmu ? Karut belaka. Darah yang sudah sebati dalam diri kita pun bukan milik kita. Berani-beraninya kau mengatakan ini bumimu ? primitif sungguh fikiran itu. Jika darah dan nafas yang sentiasa bersama dengan kita sejak kewujudan kita pun bukan milik kita, apatah lagi bumi ini yang ada sebelum terbentuknya kita.

Wahai manusia Malaysia, bumi ini bukan milik kita. Ia adalah milik Allah. Oleh itu, jangan pernah mengangkat tangan menjadi gila membawa sepanduk kehulu kehilir memberitahu seantereo dunia, bahawa Malaysia ini adalah bumi kau sahaja. Itu hanya membuat kau kelihatan bodoh dan tidak berwawasan. Begitu tamak halobakah dirimu sehingga yang bukan milikmu pun dikatakan milikmu ? saya tertawa dalam duka melihat kebodohan itu. Jangan bermain-main dengan HAK, sayang ! itu akan membinasakan hidupmu. Bumi ini luas, terokailah ia, belajarlah dari segala sudut, maka akan kau ketahui bahawa bumi ini bukan milik ''segolongan kamu'' sahaja.

Manusia terlalu licik dalam perbuatannya tetapi, selalu lupa akan dosa silam yang menghambat dirinya. Berlagak baik di depan manusia namun, dihatinya dipenuhi oleh rancangan jahat. Wahai manusia, janganlah terlalu jahat dan menyakitkan. Hidupmu tidak mungkin sampai 100 tahun, mungkin untuk mencapai 30 tahun lagi pun sudah tidak mampu. Hidup ada ditangan Tuhan, tetapi bukankah berjaga-jaga dalam hidup itu penting ? Kita akan mati bila-bila masa . Bila-bila masa saja. Kau bukan Tuhan, kita hanya hambaNya. Bila Tuhan mau menutup usia kita dibumi ini, siapakah kita untuk berkata ''tunggu dulu, Tuhan…saya belum siap'' . Maaf, kita bukan milik kita sendiri. Kepada Penciptalah pemilik kita yang hakiki, sama seperti bumi ini bukan milik kau sendiri, ia milik Tuhan yang dipinjamkan kepada kita untuk sekejap waktu. Bukan untuk selama-lamanya. Jadi untuk apa menyibukkan diri, memenatkan kaki kesana sini menjajah muka, menyatakan apa yang tidak benar ? Buang masa namanya !

Bumi ini bukan milik satu bangsa sahaja, bukan untuk satu agama saja….ia bukan untuk dimonopoli sehingga kelompok  minoriti yang terwujud dinegara ini disisihkan dan dilihat sebagai tidak bernilai. Wahai Malaysiaku, kita adalah kawan bukan musuh. Kita adalah adik kepada yang tua dan abang serta kakak kepada yang muda. Kepada negara kita berbakti, terhadap sesama kita hormati. Meski kita berbilang bangsa dan agama, hidup rukun diantara sesama tiada masalahnya asal hati berniat baik.

Kepada dunia kukhabarkan berita, hidup bermuafakat membawa harmoni dan kepada seluruh insan berwarganegara Malaysia, saya suka pada negeri ku. Ia damai, aman dan harmoni. Berbeza agama, berlainanan kaum  namun, tiada masalah tercipta kerana kami tahu nilai sebuah perpaduan dan hormat-menghormati sesama insani. Saya bertuah berada di bumi Sabah dan saya bahagia mengenal Malaysia.

Tulisan mampu menjambatani persahabatan diantara kita. Senyuman mampu memacu kehidupan bertambah indah. Tolak ansur mampu menolak segala anasir permusuhan, hormat-menghormati mampu membidas segala persengketaan. Apa bangsa saya tidak penting, apa agamamu bukan persoalannya, yang terpenting kita tetap harmoni dibumi yang sementara ini. Satu detik yang tertentu, kita semua akan berhenti dari segala agenda dunia. Kepada tanah kita tertanam dan sedarlah dari sekarang bahawa  untuk menjadi sombong itu tiada maknanya kerana pada akhirnya kita semua akan menutup mata dan cacing akan berpesta menikmati tubuh kita. Jangan pernah memijak kepala orang lain, meludahi kewujudan orang lain tetapi tetaplah rukun dan hidup aman damai. Allah mencipta dua lokasi penting setelah usia kita ditutup dibumi. Pilihan perlu dibuat dari sekarang kemana lokasi pilihanmu setelah meninggal dunia ?

Untuk pertama kalinya saya menulis sepanjang ini didalam blog picisan saya. Semoga ia membuat hatimu berbunga mekar dengan kesegaran aroma kebahagiaan dan nilai menghormati akan kewujudan manusia lain disekelilingmu.

Lihat dunia ini dan tersenyumlah  ! dunia ini sudah tidak aman tetapi, sekurang-kurangnya Malaysia masih aman.

Terima kasih.
Cacing Siap Berpesta, Jangan Sombong ! Cacing Siap Berpesta, Jangan Sombong ! Reviewed by Precious Cla on 17.10.14 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.