24 September 2014

5 Filem Travel Yang Memberi Inspirasi



1. Into The Wild (2007)

Into The Wild


Filem ini diadaptasi daripada kisah benar seorang pemuda bernama Christopher McCandless yang ditemui mati di dalam sebuah bas lama (magic bus) di sebuah kawasan belantara di Alaska pada September 1992. Kisahnya bermula apabila dia mengambil keputusan untuk mengembara dan meninggalkan segala kesenangan hidup serta keluarganya. Dia keluar tanpa wang ringgit. Wang simpanannya $25,000 didermakan kepada sebuah badan kebajikan, baki wang tunai yang masih ada dibakar dan kad kreditnya dipotong dengan gunting. Dengan hanya membawa kelengkapan diri yang dimuatkan di dalam 'backpack', dia pun memulakan langkah dari Virginia, Washington D. C. ke Alaska dengan menggunakan nama baru, Alexander Supertramp. Antara plot menarik di dalam filem ini adalah semasa dia menghabiskan sisa-sisa hidupnya (dia ketika itu nazak kerana termakan tumbuhan beracun) di dalam sebuah bas lama yang dijadikan tempat tinggalnya sehinggakan bas itu digelar 'magic bus' sehingga kini.

2. The Art Of Travel (2008)

The Art Of Travel

Conner Layne memulakan pengembaraannya dengan berbulan madu secara solo selepas dia meninggalkan majlis perkahwinannya kerana mendapati tunangnya berselingkuh dengan sahabatnya sendiri. Dia yang ketika itu masih naif tentang dunia pengembaraan, membawa diri ke Nicaragua, sebuah negara di Amerika Tengah yang merupakan bekas jajahan Sepanyol. Pertama kali tiba di negara asing, banyak masalah yang timbul. Di situ dia mengalami pelbagai pengalaman perit sebagai orang baru dalam dunia pengembaraan seperti ditipu, dirompak, berhadapan budaya jenayah kecil dan kemudahan-kemudahan yang tidak memberikannya keamanan. Lama-kelamaan dia mula dapat menyesuaikan diri, pengalaman memberinya ilmu yang berharga. Antara petikan menarik dalam filem ini adalah, "... I have so much left to do for myself. And if i don't go and seek that out, maybe i'd end up regretting it for the rest of my life".

3. The Way (2010)
The Way
 
Kisah seorang bapa, Thomas Avery yang menjejak semula perjalanan anaknya yang mati terbunuh dalam tragedi ribut di banjaran Pyrenees semasa membuat ekspedisi Camino de Santiago (The Way of St. James). Thomas pada mulanya hanya berhasrat untuk ke Sepanyol bagi menuntut mayat anaknya, namun dia kemudiannya terfikir untuk mengikuti semula jejak yang dilalui anaknya untuk merasai sendiri pengalaman dan apa yang difikirkan anaknya itu. Dalam perjalanan klasik Camino itu, Thomas berjumpa dengan beberapa individu yang sama-sama mencari erti kehidupan dengan pengembaraan yang akhirnya menjadi rakan kembara (travel mate) kepada pakar mata itu.

4. Last Stop For Paul (2008)

Last Stop For Paul

Charlie begitu sukakan pengembaraan dan sentiasa mencari jalan termurah (bajet) untuk pusing satu dunia. Manakala sahabatnya, Cliff sentiasa mencari alasan untuk tidak berjauhan dengan rumahnya dan apabila dia berjanji untuk mengikuti Charlie keluar mengembara, dia tidak pernah menepatinya. Bagaimanapun, satu hari Charlie mengajak Cliff untuk ke parti bulan penuh yang diadakan setiap bulan di Ko Pha Ngan, Thailand.  Kali ini Cliff tidak dapat menolak. Dia mahu memenuhi hasrat seorang rakan lamanya yang baru meninggal dunia, Paul untuk menjelajah dunia. Cliff mahu memberi penghormatan kepada rakannya itu dengan menabur abu mayatnya di empat sudut dunia (the four corners of the earth) iaitu Amerika (barat), Eropah (utara), Asia (timur) dan Afrika (selatan). Dalam msa dua minggu sebelum parti itu bermula, Charlie dan Cliff menjelajah ke beberapa negara dan menimba pengalaman yang berharga selain tidak lupa menaburkan sedikit abu mayat Paul di setiap hentian mereka.

5. A Map For Saturday (2007)

A Map For Saturday


Filem dokumentari arahan sendiri oleh Brook Silva-Bragga ini memaparkan kisah menarik tentang dirinya ketika mengembara ke Australia, Asia Tenggara, India, Nepal, Eropah dan Amerika Selatan selama setahun. Produser di rangkaian televisyen HBO itu sanggup meninggalkan kerjayanya demi menimba ilmu di dunia yang lebih luas di luar sana. Filem itu memaparkan tentang para backpacker yang perihatin dalam membantu mangsa tsunami di Thailand, menerangkan kenapa rumah tumpangan di Nepal tiada pelanggan dan kenapa lampu berhenti di Brazil tidak dihiraukan. Dalam perjalanan, dia bertemu dengan ramai backpacker yang rata-ratanya turut meninggalkan karier mereka untuk mengembara. Satu perkara yang dia temui semasa pengembaraan adalah, "As we delve more into the idea of buying the Round The World or RTW ticket, it becomes clear that it’s not about being lucky; it’s about the attitude to actually do it...".

Share:

0 comments: