search

Blog Archive

5 February 2015

Menulis Sebagai Kerja Sambilan

Petang yang sempurna untuk menulis sesuatu disini. Agak lama tidak menulis disini meski, pada realitinya saya menulis setiap hari. Menulis tentang sesuatu. Menulis kerana dipinta. Menulis kerana dibayar. Menulis kerana itu adalah pekerjaan yang indah. Bukan sepenuh masa tetapi, selalu dengan sepenuh hati dan keikhlasan.

Mudah terjadi dibila-bila masa untuk menjadikan saya hidup malas diantara para pemalas; tak mengerti pentingnya bermimpi, berharap, berusaha dan berdoa. Ketika menulis tiada apa yang perlu disombongkan atau dibanggakan atau meninggikan diri, kerana jika Ia bertitah, semua dapat hilang dalam sekelip mata.
Terkadang pujian membuat kita dihargai

Menulis sebagai kerja sambilan yang menguntungkan

Menulis menjadi kerja yang indah walhal, ketika bermula dahulu ia hanyalah sebuah hobi biasa untuk memuaskan keinginan hati pada yang namanya 'imaginasi ditumpahkan pada huruf dan tulisan'. Satu kepuasan jika dapat menulis. Satu kegembiraan bila dapat mengarahkan jemariku menari-nari menciptakan ayat demi ayat diatas sebuah kertas putih.

Ketika hidup mengharuskan kita untuk belajar, belajarlah. Masa akan segera pergi tanpa menunggu. Siapa yang lambat maka, disanalah hidupnya terhenti tanpa kemajuan.  Kita hanya mampu melihat ke depan kerana dibelakang sudah tiada yang tertinggal melainkan hanya dirimu sendiri. Sedangkan dihadapan ada ramai jiwa sedang berlumba saling mengatasi diantara sesama. Tidakkah ada sedikit rasa didalam dirimu untuk turut berlumba sama ?

Saya tertakluk oleh rasa itu dan saya tidak ingin selalu disini dengan pengalaman dan rasa yang sama, tanpa anjakan dan tanpa kemajuan. Kita tidak mampu menjadi sama seperti orang lain kerana dirinya memang telah diciptakan begitu dan apa pun cara kita, pasti kita tidak mampu untuk sama seperti dia kerana kita indah dan istimewa sebagaimana kita telah tercipta. Masing-masing punya keindahan sendiri, setiap kita punya kelebihan sendiri.

Inspirasi ada dimana-mana. Inspirasi datang dari banyak sudut. Melalui pendengaran, penglihatan, sentuhan dan banyak lagi. Apa yang penting rasa dan keinginan itu ada untuk melakukannya. Menulis tidak boleh dipaksakan sama seperti makan tak terasa sedap jika lapar belum menjelma mengetuk rasa.

Menulis merupakan kerja yang mengasyikkan. Tak terasa matahari telah padam dari meraja dilangit biru, tak perasan bila sang bulan tersengih mesra diantara gemilangnya sang bintang ditengah gelapnya malam. Menulis membuat hati selalu berada didunia baru. Terkadang ia mengharuskan kita menjadi gila untuk mengalami sesuatu yang tiada didepan mata, tiada dalam sentuhan dan bukan pengalaman yang pernah tercipta. Terkadang imaginasi harus lebih ekstreme membayangkan sesuatu untuk menciptakan tulisan kreatif yang memuaskan segala deria rasa. Sungguh, menulis membuat kepuasan itu ada bersemayam dihati.

Menjadi penulis sepenuh masa itu tidak akan muncul dalam waktu sekejap masa. Pasti bukan nanti selepas hari ini. Mungkin nanti selepas tahun depan atau tahun selepas tahun itu atau tahun-tahun selepas tahun itu. Saya punya kesukaan lain yang mahu rasanya ia dijadikan sebagai sumber pendapatan kerana pada hakikatnya saya suka jika saya tidak kekurangan satu benda yang namanya duit (hehehe...). Kehidupan mengajarkan bahawa duit tiada pada zaman ini adalah sukar dan tidak membawa kita kemana-mana. Mungkin terdegar sebagai mata duitan tetapi, untuk apa bekerja bersusah payah jika pada hakikatnya kita tidak mendapat apa-apa untuk dinikmati ? Duit bukanlah segalanya tetapi dizaman ini segalanya memerlukan duit.

Saya tidak mempunyai banyak kepakaran lain. Kepandaian saya agak terbatas namun, apa yang saya miliki itu adalah anugerah yang indah dan bodoh rasanya jika menguburkan ia tanpa disemarakkan dan digunakan sewajarnya. Menulis harus untuk kekal aktif berfikir. Izinkan saya melewati hari-hari ini dengan tulisan kerana tulisan sungguh membuat saya tidak sunyi dalam dunia realiti ini. Fantasi mampu melupakan saya pada banyak hal. Sungguh, tulisan terkadang membawa saya jauh menggapai awan dibawah langit, memetik bintang didada langit dan angkasa.

Share:

0 comments:

Followers