MENULIS Sebagai Sumber Pendapatan

Tiba-tiba terasa menghilang jejak bagai harimau didalam blog ini. Walhal saya tidaklah menyembunyikan apa-apa apatah, lagi mahu bersembunyi dari siapa-siapa. Saya terlalu sibuk mencari nafkah hidup juga, sibuk memaknai hidup yang semakin bergerak laju menuju penghujungnya.

Meski demikian jangan dikira kehilanganku beberapa waktu dalam bidang penulisan hilang tak bererti. Sebenarnya saya sibuk menyiapkan artikel-artikel yang ditempah oleh para pelangganku. Terkadang permintaan pelanggan agak sukar tajuknya namun, bukankah didalam dunia ini jika ada usaha beserta kerajinan semuanya akan menjadi mudah ? justeru, dikala banyak tempahan menulis diterima, kala itu jugalah hatiku melonjak keghairahan kerana dari situlah kualiti kerja penulisanku diasah untuk menjadi lebih baik setiap hari. 

Dilaut jadi buaya, didarat jadi harimau. Dimana-mana berbahaya. Saya tidak seperti itu tetapi, saya senang pada sebuah cabaran kerana cabaran membuat hidupku terasa semakin hidup meski saya bukanlah tergolong dari mereka yang berketurunan egoistik dan saya bukanlah ego. Untuk apa bermegah pada diri jika hakikatnya kita tidak punya apa-apa. Saya selalu diingatkan oleh suara kecil dibalik kepalaku bahawa dahulu saya datang kedunia dengan tidak membawa apa-apa, telanjang dan kecil dan suatu saat nanti saya juga tidak akan pergi membawa apa-apa kecuali iman dan segala kebaikan yang pernah dilakukan sebelumnya.

Mungkin ada sebahagian dari kita yang takut mencuba, takut gagal dan takut ditertawakan. Saya juga seperti itu pada mulanya. Selangkah demi selangkah saya berjalan untuk mengerti akan hidup ini. Sehari demi sehari saya lalui untuk belajar dari pengalaman. Ternyata kegagalan bukanlah suatu kemalangan yang perlu ditangisi dan diratapi. Justeru ia merupakan suatu dasar untuk kita berjaya dan berkualiti didalam hidup ini.

Saya suka menulis sejak berumur 13 tahun. Saya menulis cerpen-cerpen didalam buku nota panjang lalu menyembunyikan itu dicelah-celah pakaian agar tiada siapa yang membacanya. Saya menulis kata-kata indah diatas keratan kertas lalu kusimpan kertas itu dibalik buku lalu tanpa kusedari kertas-kertas itu hilang entah kemana. Saya menulis hanya untuk kepuasan dan rasa suka dihati. Bukan untuk tatapan ramai apatah lagi mengharapkan sebuah pujian. 

Apa pun, pengetahuan adalah puncak dari segalanya. Belajar dan terus belajar. Jangan berhenti dan jangan pernah menjadi malas. Pernah mendengar ayat 'early bird gets worm?' .Tuhan akan memberikan rezeki pada makhluknya yang terlebih dahulu bangun. Pertama harus ada usaha dan mestilah rajin. Rezeki tidak jatuh dari langit bagai hujan membasahi bumi. Ia perlu digapai dan perlu diusahakan. Tuhan akan bekerja untuk kita dengan mencurahkan berkatnya ketika kita mahu menggunakan semua keadaan yang Dia telah berikan kepada kita. Bukan sekadar meminta tetapi tiada tindakan. 

Penatku terkadang terasa sangat membuat saya putus asa namun, putus asa juga kufahami maksudnya dengan jelas. Otakku selalu menghadam semua keadaan dengan baik. Penat hari ini biarlah penat yang membuahkan hasil esok hari. Penat hari ini biarlah penat yang menjadikan kita insan lebih baik kemudian hari.
Penulis Artikel Malaysia
Maafkan saya jika tulisan demi tulisan tidak cepat terpapar setiap hari disini, bukan mahuku meninggalkan blog kesayangan ini terabai namun visi dan misi harus diutamakan dengan teratur dan bijaksana. Saya ingin menjadi penulis berkualiti. Hari ini mungkin saya tidak tersenarai sebagai penulis yang baik namun, hari ini adalah detik mulai untuk menggapai cita-cita itu.

Menulis artikel tidak selalu mudah namun, ia selalu membuat hatiku meriah dengan nikmat selepas tulisan tersebut siap. Jika dahulu pujian tidak kumiliki, kini saya mungkin mampu tersenyum bilamana tulisan-tulisan yang saya tulis dan diberikan kepada pelanggan mendapat pujian. Bukan berbangga, sekurang-kurangnya saya tahu bahawa tulisan saya tidaklah teruk. Yang punya minat pada penulisan, jangan buangkan minatmu ...mungkin suatu hari minatmu itu menjadi sumber pendapatan untuk dirimu juga buat keluargamu. 

Tulisanku agak panjang hari ini, mungkin kerana terlalu rindu untuk menumpahkan kata-kata didada blog ini. Namun, ada baiknya saya berhenti menulis detik ini kerana harus melakukan pekerjaan lain lagi. Jumpa lagi di tulisan saya yang akan datang. Bila ? mungkin petang ini atau  esok hari atau mungkin dihari selepas esok hari. Saya tidak berjanji bila tetapi, saya pasti datang menulis kembali.

Terima kasih kerana sudi membaca. God bless ya ! lagi satu, saya suka bersahabat dengan kalian. Siapa pun kalian dan dari mana pun asal kalian dan apa pun agama kalian. Kita tetap manusia yang tidak harus dibezakan oleh ras bangsa dan agama.
MENULIS Sebagai Sumber Pendapatan MENULIS Sebagai Sumber Pendapatan Reviewed by Precious Cla on 14.1.15 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.