Setiap
dari kita ada batasan yang telah ditetapkan samada oleh kita atau orang lain
yang menetapkan batasan tersebut. Secara lahiriah saya suka akan
batasan-batasan tersebut. Kita punya dua pilihan samada merentasi sempadan itu
atau mematuhi sempadan itu. Pilihan ada ditangan kita.
Hari
ni saya mahu menulis tentang sesuatu yang mungkin membuat kita semua berfikir
tentang dimana kita sedang berpijak saat ini. Samada kita masih berada didalam
sempadan kita atau kita telah melebihi sempadan Saya tidak merujuk kepada sempadan negara
antara Malaysia dengan Indonesia atau Malaysia dengan Thailand. Izinkan saya
berbicara tentang sempadan mulut dan kelakuan manusia.
Terkesima
dengan tindakan sesetengah individu yang begitu tak menggunakan akal dalam
mendifinisikan cara hidup yang tepat. Hidup pada pandangan sendiri mungkin
benar selalunya namun, hakikat dan realitinya adalah jauh dari kebenaran dan
mungkin dapat diklasifikasikan sebagai keterlaluan.
Tidak
semua hal tentang diri atau hal dalam rumah perlu diceriterakan pada alam semesta,
ada hal-hal yang hanya milik ''kita-kita'' sahaja tanpa perlu dikhabarkan pada
dunia. Seburuk dan seteruk apa pun itu, ia tidak perlu dilafazkan dari mulut ke
telinga orang lain. Itu keterlaluan namanya dan jangan pula suka membuat-buat
cerita demi menjaga kepentingan diri sendiri atau ingin dipuji dan diangkat
sebagai manusia paling baik dalam buana ini.
Segala
sesuatu ada sempadannya, jika ingin nama dikenal sila saja menjaja nama sendiri
dan jangan pernah membawa-bawa nama orang lain . Itu biadap namanya ! Segala
perbuatan ada kesannya. Berfikir jangan hanya sejengkal ibu jari, memandang
jangan hanya seinci pandangan pada cermin muka. Kita hanya manusia biasa dan
kerana biasa itulah kita tidak perlu menjatuhkan lagi nilainya ketahap yang
lebih teruk. Cukup berdiri diatas dua kaki sendiri, meningkatkan tahap kualiti
diri, berusaha mencapai kehidupan yang lebih baik dan bukan mencacatkan nama
dengan memburuk-buurkkan orang lain kerana hal itu akan berbalik kepada diri
sendiri. Mulut tercipta bukan untuk mengeji atau mungkin ia tercipta untuk
memuji tetapi jika pujian itu hanya sebagai penghias bibir dan bertopengkan
dusta ia sama saja dengan talam 100 muka. Lebih baik tiada pujian jika ia hanya
bererti menghancurkan secara manis dan bermuka-muka.
Jangan
melebihi sempadan hidup, ia tidak akan pernah menyenangkan hati orang lain.
Bijaksana harus ada dalam hidup jika tidak ingin dikatakan bodoh. Berhenti
sekejap dari segala agenda busuk itu, duduk dan renungkan dirimu. Senaraikan
segala kebodohan yang pernah kau lakukan. Senaraikan semua sikap pentingkan
dirimu. Senaraikan semua perkara yang kau bencikan dan sekarang lihat kembali
dirimu. Apa kebaikan yang telah kau lakukan. Sejauh mana kebaikan yang telah
kau lakukan. .
Hidup
punya putaran pahit dan manis. Namun, jika kebodohan menemani sepanjang jalan
kehidupan maka pahit-pahitlah yang akan kau rasakan. Lihat ke depan, maju terus
tanpa perlu menceritakan segala kekhuatiran, kekesalan, kelemahan, masalah dan
segala macam hal negatif pada orang lain. Menceritakan sama maksudnya
memudahkan orang lain menjatuhkan dan menindas diri yang sudahlah lemah, kurang
berakal pula.
Mungkin
kita selalu ingin berada dizon aman kehidupan kita lalu berusaha menjaga
keamanan itu dengan membuat-buat cerita yang sebenarnya hanya imaginasi semata.
Tidak perlu begitu. Cukup menjadi diri sendiri, berjalan diarus yang benar,
menceritakan apa yang perlu dan simpan apa yang tak patut diketahui umum. Hidup
tidak harus dibuka kisahnya pada manusia sekeliling. Tidak ada manusia yang
bersifat malaikat. Jangan mudah mempercayai orang lain. Kadang-kala rakan
kongsi ceritalah yang seringkali akan menjatuhkan dirimu kemudiannya. Kerana
itu saya terlalu sukar mempercayai orang lain. Didalam hidup saya, saya hanya
mempercayai beberapa orang meski pun saya berkawan dengan semua jenis manusia.
Hidup
harus ada sempadan, jika tidak sia-sialah membangun rumah. Segala aktiviti dan
juga cerita dalam rumah tidak perlu diusung kemana-mana. Segala kisah isi
rumah, tidak perlu dijunjung kemana-mana. Segala peristiwa tidak perlu ditabur
dimana-mana, jika kau tiada hak berbicara tentangnya cukup hanya mendengar dan
menyimpannya atau lenyapkan saja dalam simpanan fikiran . Jika pun kau punya
hak untuk membuka mulut, sila berfikir apa untungnya jika ia diceritakan pada
orang lain ?
Kebijaksanaan
hidup tidak diukur dengan sekolah tinggi semata, ia merupakan aura semulajadi
yang digali dari dalam diri kita.
Melebihi sempadan hidup mampu merosakkan diri sendiri, lihat kepada
siapa kau berteman, kepada siapa kau taburkan cerita. Fikirkan apa hasil yang
telah kau tuai selama ini. Suatu kemustahilan besar jika kita menabur bibit
kasih kita mendapatkan kepedihan. Ia mungkin terjadi satu dalam sepuluh tapi ia
tidak akan selamanya demikian jika hidup kita berlandaskan kebenaran. Jika
ingin benar-benar hidup disayangi cukup berubah menjadi baik dan logik.
Hentikan pembohongan, hapuskan dusta. Tidak perlu menabur apa-apa jika memang
tiada apa yang perlu ditabur.
Cukup
berjalan dilorong yang tepat tanpa perlu menyimpang kelorong kegelapan. Jangan bangga melihat kelip-kelip dalam malam
yang pekat kerana ada matahari lebih hebat pada siang hari. Apa gunanya
menyukai keseronokan seketika sedangkan seronok sebenar boleh didapat secara
percuma. Cukup nikmati hidup apa adanya. Bahagia akan kau peroleh tanpa perlu
dipaksakan.
Jangan
melebihi sempadan hidup. Saya tidak suka. Orang lain tidak suka. Kau sendiri
tidak suka. Hidupmu adalah kisahmu, hidup saya adalah kisah saya. Hidup mereka
adalah kisah mereka. Mengapa perlu kita ceritakan kisah kita pada orang
lain ? tiada gunanya, kita hanya mungkin
menjengkelkan atau mungkin hanya dikasihani. Hidup ini bukan untuk dikasihani.
Jadi, untuk apa menceritakan sesuatu yang tidak perlu ?
Berfikirlah
dan berubahlah menjadi yang menyenangkan dan bukan menjengkelkan. Jika tidak
mampu menyenangkan, cukup diam-diam saja tanpa perlu menjengkelkan orang lain.
Jangan Melebihi Sempadan
Reviewed by precious cla
on
20.10.14
Rating:

No comments:
Post a Comment